Kenapa NC Baru USIM Daripada Orang Dalam?

31 Disember 2009

Kenapa NC Baru USIM Daripada Orang Dalam?

Hari Rabu lepas ada perjumpaan antara mantan NC USIM yang pertama, Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Pusat Pengajian Siswazah, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Pusat Pengajian Umum. Perjumpaan ini diadakan atas permintaan beliau sendiri untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu beliau dalam mengasas dan membangunkan USIM selama 10 tahun ini.

Beliau tidak berbicara tentang pencapaian beliau selama mengurus USIM tetapi menekankan cabaran-cabaran mendatang yang bakal dihadapi oleh warga USIM. Beliau menceritakan semasa penubuhan USIM pada peringkat awal, USIM terpaksa bersaing dengan universiti-universiti lain dalam pengambilan pelajar. Dulu selalunya USIM mendapat pelajar-pelajar yang ditolak oleh Universiti lain.

Tambahan pula, pelajar yang ingin masuk ke USIM adalah terdiri daripada aliran sekolah Agama yang diketahui kedaifannya dalam banyak perkara. Ia meliputi pengurusan sekolah, prasarana, silibus dan lain-lain. Jadi USIM terpaksa menerima mereka dan perlu memikirkan bagaimana hendak membimbing pelajar-pelajar ini kerana ada tanggapan bahawa mereka ini adalah kelas 2. Sudah tentu besar cabarannya demi meningkatkan martabat pengajian Islam di Malaysia.

Untuk mengubah keadaan itu di USIM memang sukar, maka perlu diubah keadaan itu sejak daripada sekolah menengah lagi. Sebab itulah beliau dan rakan-rakan lain mencadangkan agar sekolah-sekolah Agama Rakyat didaftarkan dengan kerajaan supaya bantuan kewangan dan guru berkelayakan dapat disalurkan kepada sekolah-sekolah tersebut. Kerajaan bersetuju dengan cadangan ini, namun terdapat juga pihak-pihak yang membantah dan tidak bersetuju.

Sebenarnya pihak kerajaan sedia mendengar cadangan untuk memartabatkan bidang pengajian Islam di Malaysia. Antaranya ialah pengiktirafan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sama seperti STPM. Dato' Shukor juga menceritakan bahawa Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah mantan Perdana Menteri memberi ruang untuk memartabatkan pelajar-pelajar bidang Agama. Tun Dr. Mahathir ketika majlis pecah tanah kampus USIM pernah berkata, jangan ada pihak yang mengkhianati misi dan visi USIM.

Pak Lah ketika ditanya oleh Dato' Shukor apa yang beliau harap bila tibanya 2020. Pak Lah menjawab dia nak Malaysia jadi maju, tapi Dato' Shukor kata apa guna Malaysia maju jika anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah Agama ketinggalan dan mundur. Lalu Pak Lah kata, kalau macam tu buatlah apa pun untuk memartabatkan pengajian Islam dan kerajaan akan menyokong.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Dato' Shukor sebut kenapa penggantinya (NC baru USIM) daripada orang dalam juga dan bukan orang luar, sedangkan ura-ura kedengaran penggantinya orang luar. Beliau berkata, amat mengejutkan sebahagian besar ahli jawatankuasa pemilih Naib Canselor berpendapat apa perlunya bidang pengajian Islam dimartabatkan hingga ke peringkat IPT, cukuplah setakat sekolah menengah saja. (UF kata: otak sekular atau dalam bahasa lembutnya otak taghut macam ni la).

Maka beliau berbincang dengan pengerusi USIM iaitu Tan Sri Dr. Yusuf Nor untuk memastikan penggantinya mestilah orang USIM sendiri supaya falsafah penubuhan USIM dapat dihayati dengan baik. Sebab itulah Prof. Dato' D. Muhammad bin Muda (TNC Akademik) naik menggantikannya. Diharapkan beliau meneruskan legasi Dato' Shukor dalam memperjuangkan bidang pengajian Islam walaupun beliau adalah orang ekonomi. Begitulah al-kisahnya....

Tiada ulasan