Dia Tetap Anakku

19 November 2009

Dia Tetap Anakku

Hari ini keputusan UPSR telah diumumkan, UF hanya nak komen pencapaian Sekolah Kebangsaan Kota Warisan tempat anak UF bersekolah. Semasa UF dan ibu bapa lain dilantik menjadi AJK PIBG sekolah pada awal tahun ini, antara perkara yang menjadi kebimbangan AJK ialah prestasi UPSR yang ditahap rendah, iaitu 7 orang pelajar sahaja yang mendapat 5A tahun lepas.

Telah menjadi azam kami pihak AJK ibu bapa dan guru untuk meningkatkan prestasi ini. Pelbagai program telah dianjurkan terutamanya untuk pelajar tahun 6 demi meningkatkan pencapaian mereka untuk UPSR tahun ini.

Alhamdulillah pagi tadi ada majlis Anugerah Kecemerlangan Murid SKKW dan wakil Pengarah Pelajaran Daerah Sepang telah umumkan pada tahun ini 16 orang pelajar sekolah ini mendapat 5A (daripada lebih kurang 80 orang pelajar). Kalau nak ikutkan pencapaian ini tidak boleh dibanggakan kerana terlalu sedikit peratus yang dapat 5A kalau dinisbahkan kepada bilangan pelajar. Namun sekurang-kurangnya terdapat peningkatan yang ketara walaupun sedikit jumlah yang mendapat 5A.

Terima kasih kepada semua pihak (AJK, ibu bapa dan guru) yang tidak putus asa melontarkan idea, berkorban dan membimbing para pelajar untuk "keputusan" ini. Tahniah kepada semua pelajar yang mendapat 5A dan menggembirakan ibu bapa kamu. Tetapi perlu ingat, jadilah anak yang soleh dan solehah yang merendah diri walau ke mana sahaja kamu pergi selepas ini.

Kepada pelajar yang tidak mendapat 5A, ini bukan penghujung jalan kamu. Masa kamu akan tiba satu hari nanti kerana Allah itu Maha Adil. Kepada ibu bapa pelajar yang tidak dapat 5A, jangan kecewa dengan anak anda dan berbanggalah dengan mereka sama ada mereka mendapat 5A atau tidak.

Dia tetap anakku!!!!

Tiada ulasan