30 November 2009

KUIM Hidup Balik?

Sebelum ditukar nama ke USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) pada tahun 2007, dahulunya ia dikenali sebagai KUIM (Kolej Universiti Islam Malaysia). KUIM/USIM adalah IPTA ke 12 yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia dan IPTA pertama ditubuhkan dalam alaf baru. Setelah beroperasi 6-7 tahun barulah kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju untuk menukar nama KUIM ke USIM.

Ketika menggunakan nama Kolej UNiversiti, KUIM terpaksa menjawab banyak persoalan orang ramai tentang statusnya. Adakah KUIM ni kolej swasta?, diiktiraf kerajaan atau tidak? Adakah KUIM ni cawangan UIAM? dan sebagainya. Apabila kerajaan bersetuju menukar nama semua Kolej Uiversiti (termasuk KUIM) kepada Universiti, ia pastinya disambut gembira oleh semua warga KUIM.

Setelah 2 tahun KUIM ditukar namanya ke USIM, kini nama KUIM muncul semula. Bukannya Kolej Universiti Islam Malaysia tetapi Kolej Universiti Islam Melaka (lihat: http://www.kuim.edu.my/). KUIM baru ini dahulunya dikenali sebagai Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM). Ia adalah sebuah Institut Pengajian Tinggi Islam yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Melaka dan menawarkan program-program diploma dan sijil.

Yang menjadi timbul tanya ialah bagaimana pihak pengurusan KUIM baru ni memilih singkatan nama itu sedangkan (pastinya) mereka tahu dahulunya singkatan KUIM adalah Kolej Universiti Islam Malaysia. Bagaimana pula pihak kerajaan meluluskan penggunaan singkatan tersebut.

Sudah pasti akan timbul sedikit kekeliruan apabila disebut graduan KUIM. Adakah KUIM yang lama atau yang baru? Nampak isu ini seperti remeh tetapi memberi kesan yang besar kepada banyak pihak. UF tak pasti sama ada USIM ada buat bantahan atau tidak. Teringat kes KFC buat bantahan kepada RFC (Radix Fried Chicken) kerana hanya menggunakan warna korporat yang sama dan RFC terpaksa tukar warna korporat mereka daripada merah kepada oren.

Begitu juga kes Mcdonald dengan Mccurry, hanya kerana Mccurry menggunakan “Mc” yang dilihat meniru gaya Mcdonald. Kedua-dua kes ini bukannya nama yang sama tetapi ada persamaan sedikit saja, itupun dibuat bantahan kerana melibatkan imej organisasi tersebut.

Memang betul KUIM lama sudah tiada, tetapi ia tetap akan menimbulkan masalah. Pastinya juga orang ramai akan tertanya-tanya, adakah KUIM dihidupkan kembali?

29 November 2009

Ibadat Korban

(Lembu korban Warisan Indah)


(Proses menyiat kulit)
Alhamdulillah kelmarin, 28 Disember 2009 telah berlangsung ibadat korban yang dilaksanakan di Surau al-Hijrah, Kota Warisan. Walaupun hujan lebat turun semasa lembu pertama ingin disembelih, ia tidak menghalang penduduk Kota Warisan membantu untuk melicinkan kerja-kerja yang memang licin pun akibat hujan. Sebanyak 7 ekor lembu telah dikorbankan kelmarin, iaitu 2 ekor untuk akikah dan 5 ekor untuk korban. Tahun ni UF juga menyertai 1 bahagian korban.

Lembu pertama hingga ke 4 tidak menimbulkan banyak masalah sangat, tapi bila sampai lembu ke 5 yang merupakan lembu korban dari Warisan Indah, ia sedikit agresif. Penduduk mengambil masa sikit untuk menumbangkannya tetap hasil pengalaman akhirnya ia dapat ditumbangkan juga. Setelah disembelih dan dilonggarkan ikatan kaki, lembu korban Warisan Indah menimbulkan kegemparan apabila ia bangkit berdiri dalam keadaan lehernya telah terpotong. Nasib la ia tak lari atau kejar orang dan dalam 2-3 minit kemudian ia tumbang sendiri. Hebat betul lembu Warisan Indah ni.

Belum sempat lembu korban Warisan Indah dilapah, timbul lagi kegemparan bila lembu yang ke 6 terlepas dari ikatannya. Ia telah menyebabkan semua penduduk yang membantu atau yang sedang menyaksikan bertempiaran lari. Nasib malang bagi seorang makcik yang sedang melihat lembunya yang sedang dilapah kerana tidak sempat melarikan diri. Lembu hitam itu telah menyondol makcik tersebut dan memijaknya dan beliau dibawa ke Klinik tetapi dinasihatkan ke hospital Putrajaya sebab dia mengadu sakit dada (difahamkan yang makcik tu takde patah-patah tulang, cuma lebam sikit).

Penduduk semakin pening bagaimana nak menangkap semula lembu hitam itu, tetapi nasib baik ia tak lari dari kawasan surau, hanya berlegar di kawasan tersebut. Hampir setengah jam juga penduduk mengepungnya sambil menyusun strategi untuk menangkapnya kembali. Akhirnya ia masuk juga perangkap bila kakinya masuk dalam tali yang disediakan penduduk. Sebaik saja lembu tu terjatuh, penduduk terus mengikat kakinya dan walhasilnya ia disembelih jua.
Semangat bermasyarakat dipamerkan oleh semua penduduk Kota Warisan (termasuk penduduk Warisan Indah) baik kaum lelaki ataupun wanita. Ada yang melapah, memotong, memasak dan sebagainya. Setelah siap daging dipotong dan dibungkus, ia diagih-agihkan kepada penduduk yang hadir. Selepas solat zohor berjemaah, semua penduduk menjamu selera yang dimasak oleh Us Ideris yang juga merangkap penyembelih lembu-lembu tadi. Tahun ni menunya ialah sup, masak hitam dan daging rebus cicah air asam. Memang menyelerakan... Alhamdulillah atas nikmat Allah yang melimpah ruah ini.

22 November 2009

DIMASHQU (15)

Setelah lebih kurang sejam setengah penerbangan dari Dubai ke Damascus akhirnya sampai juga aku di Syria. Melihat dari jendela kapal terbang sebelum mendarat kelihatan tanah padang pasir seperti Mesir. Terlintas di pemikiran aku bahawa keadaan di Syria tidak banyak bezanya dengan Mesir. Aku dan keluarga sampai di Syria pada hari jumaat pagi jam 9.30 16 Disember 2005.

Lapangan Terbang Antarabangsa Syria tidaklah besar sangat, mungkin sebesar Lapangan Terbang Pulau Pinang. Tidak mahu kesesakan sewaktu mendaftar keluar, aku menunggu dahulu sehingga penumpang-penumpang lain keluar dahulu. Bulan Disember di Syria memang musim sejuk dan mengikut kata pelajar-pelajar di sini ada salji.

Bila melihat penumpang pun dah tak ramai sangat di imegresen, aku dan keluarga pun mendaftar keluar. Aku menunjukkan surat tawaran belajar di Universiti Damascus kemudian aku diminta untuk menukar wang terlebih dahulu dan aku menuruti saja. Selesai di situ aku pun pergi ke ruang bagasi untuk mengambil beg-beg aku. Pemeriksaan beg dilakukan sebagai urusan rutin.

Kemudian aku pun keluar dan meninjau-ninjau kelibat pelajar Malaysia yang menyambut kedatanganku. Sebenarnya kedatanganku telah dimaklumkan kepada Persatuan Pelajar Malaysia Syria terlebih dahulu dan aku minta tolong persatuan agar menghantar wakil untuk menyambutku. Kelihatan ada dua orang pelajar Malaysia menuju ke arah aku sekeluarga dan mereka memperkenalkan diri mereka, Rosli dan Aminuddin (kedua-duanya dari Kelantan).

Bersambung...

19 November 2009

Dia Tetap Anakku

Hari ini keputusan UPSR telah diumumkan, UF hanya nak komen pencapaian Sekolah Kebangsaan Kota Warisan tempat anak UF bersekolah. Semasa UF dan ibu bapa lain dilantik menjadi AJK PIBG sekolah pada awal tahun ini, antara perkara yang menjadi kebimbangan AJK ialah prestasi UPSR yang ditahap rendah, iaitu 7 orang pelajar sahaja yang mendapat 5A tahun lepas.

Telah menjadi azam kami pihak AJK ibu bapa dan guru untuk meningkatkan prestasi ini. Pelbagai program telah dianjurkan terutamanya untuk pelajar tahun 6 demi meningkatkan pencapaian mereka untuk UPSR tahun ini.

Alhamdulillah pagi tadi ada majlis Anugerah Kecemerlangan Murid SKKW dan wakil Pengarah Pelajaran Daerah Sepang telah umumkan pada tahun ini 16 orang pelajar sekolah ini mendapat 5A (daripada lebih kurang 80 orang pelajar). Kalau nak ikutkan pencapaian ini tidak boleh dibanggakan kerana terlalu sedikit peratus yang dapat 5A kalau dinisbahkan kepada bilangan pelajar. Namun sekurang-kurangnya terdapat peningkatan yang ketara walaupun sedikit jumlah yang mendapat 5A.

Terima kasih kepada semua pihak (AJK, ibu bapa dan guru) yang tidak putus asa melontarkan idea, berkorban dan membimbing para pelajar untuk "keputusan" ini. Tahniah kepada semua pelajar yang mendapat 5A dan menggembirakan ibu bapa kamu. Tetapi perlu ingat, jadilah anak yang soleh dan solehah yang merendah diri walau ke mana sahaja kamu pergi selepas ini.

Kepada pelajar yang tidak mendapat 5A, ini bukan penghujung jalan kamu. Masa kamu akan tiba satu hari nanti kerana Allah itu Maha Adil. Kepada ibu bapa pelajar yang tidak dapat 5A, jangan kecewa dengan anak anda dan berbanggalah dengan mereka sama ada mereka mendapat 5A atau tidak.

Dia tetap anakku!!!!

03 November 2009

DIMASHQU (14)

Pukul 4 pagi aku dan keluarga dah bangun dan mandi serta bersiap lebih kurang untuk ke Airport Dubai. Jadual flight ke Damascus, Syria lebih kurang jam 7 pagi waktu Dubai. Perjalanan ke Airport pada waktu awal pagi lebih cepat kerana tiada kesesakkan. Bila sampai di Airport sementara menunggu waktu Subuh, kami menjamah burger yang dibeli semalam. Baru terasa lapar kerana semalam tak sempat nak makan kerana keletihan.

Selepas selesai aku solat subuh di surau Airport, aku dan keluarga pun menaiki flight menuju ke Damascus. Perjalanan dari Dubai ke sana mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Penumpang agak penuh dalam kapal terbang tersebut dan aku duduk sebelah satu keluarga dari Brunei yang mengiringi anak mereka belajar di Syria.

Anak aku Itmi'nan memang seronok sangat, tambahan pula dia dapat hadiah dari pramugari. Aku pula sudah melayan fikiran bagaimanalah kehidupan di Syria nanti, adakah sama lebih kurang macam Mesir atau bagaimana?

Bersambung...

02 November 2009

Kenapa Aku Serba Kekurangan...?

Seringkali kita merasakan ada banyak kekurangan dalam diri kita yang menyebabkan kita berasa rendah diri. Kenapa aku tidak dapat no. 1 seperti orang lain? Kenapa aku tidak pandai menyanyi seperti orang lain? Kenapa aku tidak pandai main bola seperti orang lain? kenapa... kenapa dan kenapa aku....?

Ya... persoalan-persoalan itu memang pernah menghantui diri UF. Terasa amat kerdil diri ini jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Perasaan cemburu dan sakit hati akan terasa dalam diri bila melihat orang lain "pandai" itu dan "pandai" ini. Apa yang aku pandai buat??? Nak kata pandai ceramah, orang lain lagi hebat berceramah. Nak kata pandai dalam pelajaran, orang lain lagi hebat sampai dapat first class atau mumtaz/jayyid jiddan. Bla Bla Bla....

Tapi bila difikir dan direnung balik, takkanlah diri UF tiada kelebihan langsung. Apakah hanya ada kekurangan dalam diri UF ni. Lama UF "mengkaji" dan "melihat" diri UF yang diciptakan Allah yang Maha Agung. Adakah Allah ciptakan UF untuk berduka mengenang nasib yang penuh kekurangan atau untuk apa?

Hakikat diri UF tak setanding orag lain dalam serba serbi memang tidak boleh dinafikan. Memang hakikatnya UF tak pandai dalam banyak perkara, hanya tahu sikit-sikit sahaja. Ceramah, bolehlah sikit-sikit malah sampai sekarang pun masih belajar berceramah. Sebab tu terkadang ceramah jadi lancar, terkadang pulak lintang pukang (diri sendiri pun boleh tahu). Main bola pun tahu sikit-sikit, bukannya pandai pun cuma dah minat bersukan terutamanya main bola.

Menyanyi pun tahu sikit-sikit, walaupun waktu sekolah dulu selalu jadi wakil ke pertandingan menyanyi. Baru UF tahu yang suara UF tak sesuai jadi penyanyi, tu pun tahu bila UF masuk studio nak rakam album INSTINCT, pemilik studio kata UF tak boleh nyanyi sebab pakai suara hidung (ala ala sengau la tu). Dengar suara sendiri pun rasa malu.

Tapi setelah lama "melihat" diri sendiri dan mengkajinya, barulah UF tahu dan sedar rupanya "kelebihan" diri UF ialah tahu buat semua perkara sikit-sikit. Alhamdulillah, rupanya itulah kelebihan yang Allah anugerahkan untuk UF. Perkara yang asalnya dianggap kekurangan tapi sebenarnya kelebihan bila kita berfikiran positif dalam hidup kita.

Bukan tujuannya UF nak mendabik dada, tetapi sekadar berkongsi pengalaman yang tak seberapa. Kalau anda di luar sana selalu rasa rendah diri sebab banyak kekurangan, ingatlah pasti ada kelebihan (kalau tak banyak pun, ada sikit) dalam diri anda yang Allah kurniakan. Berbangga dengan diri anda sendiri dan bersyukur dengan kurniaan Allah itu. Sedarlah walaupun seseorang itu berwajah cantik (contohnya) yang dianggap satu kelebihan, tidak semestinya orang itu lebih dalam perkara lain.

Mungkin terkadang ada seorang yang mempunyai kelebihan dalam banyak perkara: cantik, pandai, kaya dan sebagainya, tapi diri kita juga tetap ada kelebihan. Mungkin kelebihan itu belum dapat ditonjolkan kerana kita asyik dikalahkan dengan perasaan serba kurang.

Yang penting ialah kita berfikiran positif dan berpeganglah dengan moto:

"Aku tidak hidup disebabkan pujian orang dan aku tidak mati disebabkan cemuhan orang".