Sekadar Pandangan

11 September 2009

Sekadar Pandangan

Tadi masa dengar khutbah jumaat, khatib berkhutbah tentang zakat fitrah dan dia ada sebut pasal syarat wajib zakat fitrah dan hikmahnya serta perkara-perkara berkaitan. Sambil mendengar khutbah tu sambil UF terfikir, kalaulah wang zakat fitrah yang dikumpul tu bertujuan untuk membantu faqir miskin terutama untuk menghadapi hari raya Aidilfitri, boleh tak pusat zakat negeri ambil inisiatif pada masa depan, cari mekanisme menggalakkan umat Islam bayar zakat fitrah lebih awal, yakni sebelum 15 Ramadan.

Tujuannya ialah bila zakat fitrah sudah terkumpul awal, maka agihannya juga boleh diawalkan dan faqir miskin mendapat bahagian mereka masing-masing lebih awal sebelum tibanya 1 Syawal. Katakan 15 Ramadan adalah tarikh target, jadi sekitar 20-25 Ramadan wang zakat fitrah itu perlu diagihkan kepada golongan faqir miskin. Manakala zakat fitrah yang dibayar selepas tarikh itu boleh diberikan kemudian.

Dapatlah golongan faqir miskin membuat persiapan dengan sempurna lebih awal dari segi pakaian raya untuk anak-anak dan kelengkapan lain-lain. Kalau kita masih mengamalkan sistem agihan selepas hari raya Aidilfitri seperti sekarang, maka golongan faqir miskin tidak mendapat kenikmatan berhari raya (walaupun sikit).

Walaupun waktu wajib untuk bayar zakat fitrah ialah tenggelamnya matahari akhir Ramadan dan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri namun boleh dikeluarkan zakat fitrah bermula awal Ramadan lagi dan hukumnya adalah sunat. UF rasa kita boleh cuba cadangan ini.

Ini adalah pandangan UF, boleh ditolak dan boleh dibincang… apa komen anda?

Tiada ulasan