DIMASHQU (7)

27 Mac 2009

DIMASHQU (7)

Aku gembira sangat kerana hajat yang diidamkan iaitu untuk sambung belajar di Universiti Damascus tercapai. Dengan adanya surat itu, aku panjangkan kepada unit cuti belajar di USIM untuk memulakan urusan dan proses cuti sambung belajar di Syria. Nasib baik pihak USIM dan JPA menerima surat tersebut sebagai offer letter walaupun ia bukanlah surat rasmi.

Aku begitu teruja untuk ke Syria, tetapi ada sedikit perasaan gementar kerana aku tidak pernah pergi ke sana dan ia adalah pengalaman pertama bagiku. Mulanya aku ingat boleh pergi terus dalam bulan Ogos atau September, tapi dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang tempat aku mengajar meminta agar aku menangguhkan dahulu pemergianku ke Syria hinggalah ke bulan Disember setelah tamat semester pengajian. Ini kerana aku perlu menghabiskan silibus pengajian dan jika aku pergi pada bulan Julai, tiada siapa yang menggantikan tempat aku.

Tambahan pula kemasukan ke Universiti Damascus adalah sepanjang tahun dan tiada sistem semester di sana, jadi tidak ada masalah sangat kalau aku pergi lewat sikit. Walaupun aku begitu bersemangat untuk pergi ke Syria, tetapi aku akur dengan permintaan dekan, sebab yang penting ialah aku sudah mendapat tempat untuk sambung belajar. Aku mengutus emel kepada Dr. Tawfiq dan memberitahunya yang aku terpaksa pergi lewat sikit dari jangkaan awal.

Bersambung....

Tiada ulasan