DIMASHQU (6)

02 Mac 2009

DIMASHQU (6)

Aku semakin resah menunggu jawapan daripada Dr. Tawfiq dan setiap kali aku mengutus emel kepada beliau bertanyakan hal itu, jawapan yang diberikan masih menghampakan. Aku merayu kepada Dr. Tawfiq agar berbuat sesuatu supaya permohonan aku untuk masuk ke Universiti Damascus diterima. Aku memberitahunya kalau aku tidak diterima, maka peluang aku untuk sambung belajar pada tahun ini (2005) mungkin akan terlepas.

Setelah penat menunggu jawapan permohonan aku itu, akhirnya aku mendapat pengkhabaran gembira daripada Dr. Tawfiq. Khabar yang mengatakan aku telah diterima masuk ke Universiti Damascus. Aku pasti yang Dr. Tawfiq telah banyak membantu aku daripada mula sehinggalah aku diterima masuk. Aku memohon pertolongan Dr. Tawfiq sekali lagi supaya mengirim surat rasmi yang menyatakan aku telah dimasuk ke Universiti Damascus kerana emelnya sebelum ini bukanlah surat hitam putih. Ini kerana urusan permohonan cuti belajar di peringkat Universiti Sains Islam Malaysia tempat aku berkerja dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memerlukan surat tawaran daripada universiti yang dipohon.

Aku hanya mendapat surat (yang discan melalui emel) daripada universiti Damascus sekitar bulan 7 tahun 2005. Surat yang aku dapat itu sebenarnya bukanlah surat tawaran kemasukan yang rasmi, tapi hanya surat akuan dekan Fakulti Syariah, universiti Damascus Prof. Dr. Muhammad Faruq al-Ukkam yang menyatakan bahawa tiada halangan daripada pihaknya untuk menerimaku sebagai pelajar di universiti Damascus.

Bersambung...

Tiada ulasan