Siapa Ulil Amri?

28 Februari 2009

Siapa Ulil Amri?

Di bawah adalah isi kandungan emel UF kepada Dinsman:

Bila kita membincangkan tentang ayat ke 59 surah al-Nisa' yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan Ulil Amri daripada kamu.....", seringkali kita mentafsirkan "Ulil Amri" sebagai "pemimpin". Tafsiran ini sering dipakai oleh kebanyakan orang termasuk para pemimpin terutama pemimpin negara dalam menghujahkan agar orang bawahan perlu mentaati kepimpinan mereka. Tafsiran ini memang betul kerana tafsiran ini tersebut dalam kitab-kita tafsir. Terdapat beberapa riwayat yang antaranya menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada seorang sahabat dalam satu pertempuran yang memberi erti perlu taat kepada pemimpin.

Namun ia bukan satu-satunya tafsiran kepada istilah "Ulil Amri", sebab ada satu lagi tafsiran terhadap istilah tersebut tetapi tafsiran ini amat-amat jarang ditonjolkan sehinggakan ramai umat Islam menyangkakan bahawa "Ulil Amri" maksudnya hanyalah pemimpin. Tafsiran kedua ini ialah: "Ulil Amri" juga bermaksud para ulama. Dalam tafsir al-Quran al-Azim karangan imam Ibnu Kathir, beliau menukilkan beberapa pandangan ulama tentang tafsiran kedua ini, contohnya Ibnu Abbas, Mujahid, Ata' dan al-Hasan al-Basriyy menyatakan "Ulil Amri" ialah ahli Fiqh dan Agama. Manakala Abu al-'Aliyah pula menyatakan "Ulil Amri" adalah para ulama (kedua-dua pandangan adalah sama iaitu "Ulil Amri" adalah mereka yang mahir dalam ilmu agama). Perkara yang sama disebutkan dalam Tafsir "Ma'alim al-Tanzil" karangan imam al-Baghawiyy, tafsir "Mafatih al-Ghayb" karangan imam al-Raziyy dan lain-lain.

Seterusnya Ibnu Kathir membuat kesimpulan, bahawa makna "Ulil Amri" sebenarnya boleh digunapakai untuk pemimpin ataupun ulama. Ia bukan bermaksud pemimpin sahaja atau ulama sahaja dan maksud salah satu tafsiran tergunapakai dalam konteknya. Maksudnya, jika dalam hal-hal kenegaraan atau pentadbiran maka perlulah taat kepada "Ulil Amri" yang bermaksud pemimpin. Manakala dalam hal-hal hukum hakam maka perlu dirujuk dan taat kepada saranan "Ulil Amri" iaitu para ulama kerana mereka adalah pakar dalam bidang tersebut. Umara' (pemimpin) dan ulama perlu saling nasihat menasihati untuk kepentingan masyarakat dan masyarakat pula tanggungawab mereka adalah jelas tidak boleh mentaati "Ulil Amri" dalam perkara maksiat sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud "tidak ada ketaatan dalam maksiat kepada Allah".

Namun seperti dikatakan tadi, ramai pihak yang hanya menggunapakai tafsiran pertama dan berhujahkan perlu taat kepada pemimpin walaupun dalam bidang agama ataupun hukum hakam. Jelas pandangan ini tidak tepat kerana setiap bidang ada yang pakarnya dan perlu diserahkan kepada yang pakar dalam bidang tersebut untuk berbicara mengenainya.

Tiada ulasan