Ziarah Tabligh

02 Januari 2009

Ziarah Tabligh

Surau al-Hijrah, Kota Warisan tempat UF tinggal sempena Maal Hijrah telah menganjurkan minggu Maal Hijrah yang bertemakan "Jom Solat Berjemaah". Ia adalah program seminggu yang padat dengan kuliah agama pada setiap malam sepanjang minggu ini. Ia dimulakan dengan bacaan sura Yasin, doa akhir tahun dan awal tahun Muharram dan diikuti dengan ceramah mengenai sirah Rasulullah S.A.W. Ia diteruskan pada setiap malam yang mencangkupi pelbagai tajuk antaranya ekonomi, akidah, hiburan, bicara sufi dan kemuncaknya ialah forum perdana yang menampilkan Dato' Hasan Din (bekas penasihat agama Istana Negara) dan Dato' Kamaruddin (bekas imam Masjid Negara dan masjid Wilayah).

Salah satu program yang terdapat dalam minggu Maal Hijrah ini ialah ziarah ke rumah penduduk di Kota Warisan ini. Ziarah ini dikepalai oleh jemaah Tabligh kerana mereka memang biasa dengan aktiviti ini. UF mengambil peluang untuk turut serta dalam ziarah ini untuk menyelami pengalaman jemaah tabligh menziarahi rumah penduduk sambil mengajak mereka ke surau untuk solat berjemaah dan turut serta dalam program yang dianjurkan sepanjang minggu ini.

Ini adalah pengalaman kali pertama UF dalam program ziarah ini. Kalau sebelum ini UF menerima ziarah jemaah tabligh, tapi kali ini UF sendiri yang mengikuti mereka. Bukan semua yang ikut ziarah ini terdiri daripada jemaah Tabligh, ada juga penduduk biasa termasuk UF. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan kumpulan UF ni kebetulan semuanya jemaah tabligh kecuali UF.

Rupanya sebelum mereka keluar berziarah, mereka akan memberi penerangan ringkas mengenai adab-adab berziarah dan menggalakkan beristighfar kepada Allah. Seorang dua daripada ahli kumpulan ziarah akan ditinggalkan di surau untuk berzikir dan berdoa untuk kelancaran aktivit ziarah. Kemudian dilantik seorang ketua kerana mengikut sunnah Nabi dan seorang mutakallim (jurucakap) dan kami menuju ke salah sebuah apartment di Kota Warisan.

Alhamdulillah satu pengalaman baru untuk UF dan UF dapati tugas ziarah seperti ini bukan mudah walaupun nampak simple. Ia adalah tugas dakwah mengajak manusia kepada Allah yang memerlukan keikhlasan dan kesabaran. Kami sempat pergi ke beberapa blok sambil mengetuk setiap pintu rumah dengan memberi salam. Jika salam ketiga tidak dijawab maka kami beredar ke rumah yang lain kerana itu adalah sunnah Nabi S.A.W. Jika rumah yang diketuk hanya terdapat kaum wanita, kami hanya berpesan agar disampaikan maklumat kepada suami untut turut serta dalam program surau.

Petang itu hanya 4 rumah yang sempat kami temui penghuni lelaki dan alhamdulillah mereka mendengar penerangan ringkas daripada mutakallim dengan baik walaupun mungkin dalam keadaan terpaksa. Kami akhiri ziarah dengan istighfar kepada Allah atas apa-apa kecuaian sepanjang kami melakukan ziarah ini. Satu pengalaman berguna buat UF untuk menyelami aktiviti ziarah jemaah tabligh.

Tiada ulasan