26 Januari 2009

Solat Gerhana Matahari

Lepas Asar tadi, surau al-Hijrah, Kota Warisan mengadakan solat sunat gerhana matahari. Bagi UF ni kali ke tiga UF solat sunat gerhana matahari sepanjang umur UF. Gerhana matahari berlaku pada hari ini 26 Jan 2009 jam 4.30 atau 4.50 petang (lebih kurang). UF yakin mungkin ramai jemaah tadi yang baru pertama kali solat sunat gerhana matahari.

Apapun yang penting ialah kita menurut sunnah Nabi S.A.W, bila berlakunya gerhana matahari atau bulan, kita bersegera solat sunat gerhana memohon keampunan daripada Allah. Kita juga mengimani bahawa ini adalah antara tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah S.W.T. Tiada satu makhluk pun yang boleh menandingi kehebatan Allah dalam mengawal segala cakerawala di alam ini. Insafilah dirimu wahai manusia...

15 Januari 2009

DIMASHQU (4)

Setelah itu aku pula mengutusi Dr. Tawfiq bertanyakan cara permohonan memasuki Universiti Damascus dengan lebih lanjut. Beliau meminta agar aku mengirimkan semua sijil dan surat yang berkenaan kepadanya. Beliau akan membantu aku mengemukakan permohonan ke universiti Damascus. Aku bertanyakan seorang sahabat aku (Ridwan Rizal) yang pernah ke Syria, mungkin dia tahu kalau-kalau ada pelajar Malaysia di Syria yang balik bercuti. Ini kerana untuk memohon masuk di Universiti Damascus, aku perlu mengemukakan sijil BA dan MA yang asli. Aku rasa lebih selamat jika aku kirim melalui budak Malaysia yang pulang bercuti daripada aku mengeposnya kepada Dr. Tawfiq.

Ridwan memberitahu ada seorang budak Selangor bernama Nakhaie yang balik bercuti dan akan ke Syria awal bulan Disember (2004) nanti. Jadi aku pun menelefon Nakhaie untuk mengirim sijil-sijil yang perlu dan meminta pertolongannya agar dapat memberikan sijil-sijil tersebut kepada Dr. Tawfiq.
Kebetulan pula 1-3 Disember 2004 aku ada bengkel Perancangan Akademik USIM 2005-2015 di Cherating, Pahang, aku tidak dapat bertemu dengan Nakhaie. Lalu aku minta pertolongan Us. Syed Ahmad Tirmizi (pensyarah USIM) untuk tolong menyerahkan sijil-sijil aku kepada Nakhaie. Us. Tirmizi memang dah banyak kali menolong aku (semoga Allah memberi ganjaran berlipat kali ganda kepada beliau).
Bersambung....

05 Januari 2009

Point Forum 2

Dato' Hasan Din ditanya pula tentang peranan solat jamaah terhadap individu. Beliau menjawab di samping pahala banyak berbanding solat sendirian, solat jamaah ini mengajar 3 perkara penting:

1. Ia mengajar makna pemimpin dan kepimpinan. Imam adalah pemimpin jamaah dan sewajarnya memahami keadaan makmum di belakangnya sebab ada makmum yang uzur ataupun yang ada hajat. Dalam erti kata lain imam jangan syok sendiri dan perlu ikut sunnah Nabi. Nabi Muhammad S.A.W kalau solat berjamaah dengan para sahabat baginda memendekkan solat, tetapi kalau baginda solat sendirian (solat sunat), baginda akan memanjangkan solatnya. Makmum juga mesti mentaati imam dengan tidak mendahuluinya, jikalau tidak solat akan terbatal. Kalau imam buat salah, makmum mesti menegurnya, sehingga 3 kali imam masih tidak perbetulkan kesalahannya dalam solat, makmum wajib mufaraqah. (Dato' Hasan Din membuat analogi lawak, kalau dah tegur tak nak terima, masuk la parti lain, menyebabkan hadirin ketawa).

2. Ia mengajar untuk mengenal diri sendiri. Solat jamaah mengajar erti "siapa aku?" dan jawapannya ialah "aku hamba Allah yang hina". Dalam erti kata lain, ia mengajar manusia supaya tawaduk dan merendahkan diri. Setinggi manapun kedudukan seseorang itu, bila solat berjamaah dia akan meletakkan kepalanya separas bontot (orang utara kata juboq) orang di hadapan ketika rukuk dan meletakkan kepalanya separas kaki orang dihadapan ketika sujud. Nak menunjukkan ketundukkan seseorang itu kepada kebesaran Allah dan tiada terbanding ketinggian manusia dengan keagungan Allah S.W.T.

3. Ia mengajar makna sosio kemasyarakatan atau lebih tepat lagi hidup bermasyarakat atau berjiran. Ulama fiqh dalam menyifatkan solat Nabi Muhammad, mereka memberitahu bahawa baginda menyarankan orang lelaki bila solat (terutama dalam sujud) mesti mengembangkan tangannya sehingga digambarkan dalam hadis bahawa kambing boleh lalu di celah tangan Rasulullah, manakala orang perempuan bila sujud mesti menguncup tangan ke dalam (tidak seperti lelaki). Oleh kerana orang lelaki yang digalakkan solat jamaah di masjid/surau, saranan tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana di masjid/surau terdapat orang kiri kanan turut solat bersama. Ini menunjukkan supaya menghormati ahli jamaah lain yang sebelah menyebelah dengan tidak mengembangkan tangan kerana akan mengganggu mereka (lainlah kalau solat sendirian, nak kembangkan tangan tidak jadi masalah). Begitu juga bacaan dalam solat, tidak boleh sehingga mengganggu orang di sebelah, malah hanya cukup sekadar terdengar di telinga sendiri. Dengan itu, jika kita memahami konsep ini, maka kita akan lebih menghormati orang lain dan maksud hidup bermasyarakat akan lebih sempurna.
Inilah 2 point utama yang UF rasa cukup memberi kefahaman keada kita tentang solat dan berjamaah. Sama-samalah kira renung dan amalkan.

Point Forum 1

Dato' Kamaruddin menyentuh tentang kepentingan solat dalam menjadikan orang baik, yang kesimpulannya kalau nak jadi baik solat jangan abaikan solat. Beliau banyak bercerita tentang pengalamannya menjadi imam masjid negara dengan kerenah manusia yan pelbagai. Yang UF nak ulas tentang forum itu ialah apa yang disentuh oleh Dato' Hasan Din.

Dato' Hasan Din ditanya solat yang bagaimana boleh mencegah seseorang itu daripada melakukan maksiat. Jawapan yang diberikan memang menarik iaitu, solat menurut ulama tasauf ada 4 peringkat:

1. Solat al-Jahilin (solat orang jahil), iaitu orang yang baru masuk Islam atau orang Islam yang tidak mahu belajar solat dengan betul sehingga menyebabkan solatnya kucar kacir.

2. Solat al-'Adiyyin (solat orang kebanyakan), iaitu solat orang awam yang tahu solat tetapi tidak memahami makna bacaan dalam solat.

3. Solat al-'Arifin (solat orang tahu), yakni orang yang tahu makna bacaan dalam solat (mungkin para ustaz kot -UF kata). Solat 3 golongan ni masih belum sampai tahap mampu menahan individu daripada melakukan maksiat. Sebab tu 3 golongan ni solat, tapi kadang-kadang masih membuat maksiat seperti rasuah, main judi, minum arak, berzina dan lain-lain.

4. Solat al-Khasyi'in (solat orang yang khusyuk), iaitu orang yang paling tinggi darjatnya di kalangan orang yang bersolat dan solat jenis inilah yang dikatakan mampu mencegah sesorang individu daripada melakukan maksiat seperti yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-'Ankabut ayat 45 yang bermaksud; "Sesungguhnya solat itu (boleh) mencegah perbuatan keji dan munkar".

04 Januari 2009

Forum Maal Hijrah "Jom Solat Jamaah"


Malam semalam telah diadakan satu forum Maal Hijrah yang bertemakan "Jom Solat Jamaah". Forum ini merupakan kemuncak program minggu Maal Hijrah yang dianjurkan oleh Surau Kota Warisan, Sepang. Forum ini menampilkan 2 tokoh agamawan terkenal iaitu Dato' Kamaruddin Zakaria @ lebih dikenali semalam dengan Dato' K (mantan imam masjid negara) dan juga Dato' Abu Hasan Din al-Hafiz (mantan pegawai agama di Istana Negara) yang dipengerusikan oleh Dr. Mohd Rushdan (pensyarah USIM).
Majlis dimulakan dengan alunan ayat al-Quran oleh Us. Anuar Hasin (Juara Akademi al-Quran musim ke 2), seterusnya ucapan perasmian penutup minggu Maal Hijrah oleh YB Dr. Syafie Abu Bakar, ADUN Bangi. Majlis diserikan juga dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah peringkat Kota Warisan yang diberikan kepada 3 penerima terdiri daripada muslimin dan muslimat. Forum bermula agak lewat, kira-kira jam 9.45 malam. Walaubagaimanapun kehadiran hadirin dan hadirat amat memberangsangkan sehinggakan kerusi tak cukup dan ramai terpaksa duduk atas tikar di luar surau.
Kedua-dua ahli panel begitu mantap menyampaikan hujah dan pandangan masing-masing, dengan forum semalam penuh dengan kelucuan kerana ahli panel berceramah dengan lawak jenaka. Walaupun hadirin hadirat sentiasa ketawa, namun sebenarnya ia penuh dengan mesej yang mampu membawa keinsafan. Sebab itu orang ramai semalam tidak berganjak, tetap mendengar sampai habis walaupun tamat hampir jam 11.40 malam. Bagi UF, sepanjang umur mendengar atau menonton Forum Perdana, inilah forum yang paling best sekali pernah disaksikan.
UF akan kupas apa yang disampaikan oleh kedua-dua ahli panel dalam forum semalam tu kemudian.. tunggu!

02 Januari 2009

Baca Khutbah

Tengahari tadi pulak UF kena baca Khutbah di Masjid Kota Warisan. Ini kali ke 3 sepanjang umur dan masih gabra jugak mulanya sebab jarang naik mimbar. Tapi bila dah dok atas mimbar tu dah naik syeikh pulak.

Darjah 1


Hari ni UF bawa anak sulung (merangkap bongsu) untuk sesi orientasi di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan sebab tahun ni dia dah darjah 1 pun. Ramai jugak mak ayah yang menemani anak masing-masing dan difahamkan tahun 1 pada kali ini terpaksa tambah kelas sebab pertambahan murid. Kalau tahun lepas hanya 3 kelas tahun 1, tapi tahun ni ada 5 kelas untuk tahun 1.


Ziarah Tabligh

Surau al-Hijrah, Kota Warisan tempat UF tinggal sempena Maal Hijrah telah menganjurkan minggu Maal Hijrah yang bertemakan "Jom Solat Berjemaah". Ia adalah program seminggu yang padat dengan kuliah agama pada setiap malam sepanjang minggu ini. Ia dimulakan dengan bacaan sura Yasin, doa akhir tahun dan awal tahun Muharram dan diikuti dengan ceramah mengenai sirah Rasulullah S.A.W. Ia diteruskan pada setiap malam yang mencangkupi pelbagai tajuk antaranya ekonomi, akidah, hiburan, bicara sufi dan kemuncaknya ialah forum perdana yang menampilkan Dato' Hasan Din (bekas penasihat agama Istana Negara) dan Dato' Kamaruddin (bekas imam Masjid Negara dan masjid Wilayah).

Salah satu program yang terdapat dalam minggu Maal Hijrah ini ialah ziarah ke rumah penduduk di Kota Warisan ini. Ziarah ini dikepalai oleh jemaah Tabligh kerana mereka memang biasa dengan aktiviti ini. UF mengambil peluang untuk turut serta dalam ziarah ini untuk menyelami pengalaman jemaah tabligh menziarahi rumah penduduk sambil mengajak mereka ke surau untuk solat berjemaah dan turut serta dalam program yang dianjurkan sepanjang minggu ini.

Ini adalah pengalaman kali pertama UF dalam program ziarah ini. Kalau sebelum ini UF menerima ziarah jemaah tabligh, tapi kali ini UF sendiri yang mengikuti mereka. Bukan semua yang ikut ziarah ini terdiri daripada jemaah Tabligh, ada juga penduduk biasa termasuk UF. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan kumpulan UF ni kebetulan semuanya jemaah tabligh kecuali UF.

Rupanya sebelum mereka keluar berziarah, mereka akan memberi penerangan ringkas mengenai adab-adab berziarah dan menggalakkan beristighfar kepada Allah. Seorang dua daripada ahli kumpulan ziarah akan ditinggalkan di surau untuk berzikir dan berdoa untuk kelancaran aktivit ziarah. Kemudian dilantik seorang ketua kerana mengikut sunnah Nabi dan seorang mutakallim (jurucakap) dan kami menuju ke salah sebuah apartment di Kota Warisan.

Alhamdulillah satu pengalaman baru untuk UF dan UF dapati tugas ziarah seperti ini bukan mudah walaupun nampak simple. Ia adalah tugas dakwah mengajak manusia kepada Allah yang memerlukan keikhlasan dan kesabaran. Kami sempat pergi ke beberapa blok sambil mengetuk setiap pintu rumah dengan memberi salam. Jika salam ketiga tidak dijawab maka kami beredar ke rumah yang lain kerana itu adalah sunnah Nabi S.A.W. Jika rumah yang diketuk hanya terdapat kaum wanita, kami hanya berpesan agar disampaikan maklumat kepada suami untut turut serta dalam program surau.

Petang itu hanya 4 rumah yang sempat kami temui penghuni lelaki dan alhamdulillah mereka mendengar penerangan ringkas daripada mutakallim dengan baik walaupun mungkin dalam keadaan terpaksa. Kami akhiri ziarah dengan istighfar kepada Allah atas apa-apa kecuaian sepanjang kami melakukan ziarah ini. Satu pengalaman berguna buat UF untuk menyelami aktiviti ziarah jemaah tabligh.