November 2008

28 November 2008

DIMASHQU (2)

Aku mula mencari maklumat universiti-universiti yang terletak di Timur Tengah. Aku melayari laman web semua universiti-universiti negara Arab. Aku ingin mencari pengajian Ph.D secara penulisan tesis sahaja tanpa kerja kursus, tapi aku inginkan universiti yang tidak ramai pelajar Malaysia di situ. Akhirnya di hadapanku ada tiga negara yang menjadi pilihan.

Pertama Universiti Kaherah, Mesir, kedua Universiti Damascus, Syria dan yang terakhir ialah universiti-universiti di Maghribi. Namun Universiti Kaherah adalah pilihan terakhir kerana aku pernah belajar di Mesir selama empat tahun. Selepas tamat pengajian aku masih tinggal di Mesir dua tahun lagi. Jadi bererti sudah enam tahun aku hidup di Mesir, maka aku perlu mencari angin baru.

Yang tinggal ialah Syria atau Maghribi. Maklumat tentang Universiti Damascus, Syria tidak banyak di ketahui. Selain daripada maklumat dalam laman web universiti yang menyatakan bahawa Fakulti Syariah ditubuhkan pada tahun 1954 dan ia menawarkan ijazah hingga peringkat Ph.D, maklumat-maklumat lain tiada. Melalui kawan-kawan dan pelajar-pelajar Malaysia yang pernah ke Syria, tiada pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Universiti Damascus pada peringkat Master atau Ph.D. Yang ada hanyalah pelajar ijazah pertama, itupun bilangannya sekitar lima atau enam orang sahaja. Di Syria, hanya Universiti Damascus sahaja yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Di Maghribi pula terdapat lebih kurang tiga belas universitinya diiktiraf oleh JPA. Terdapat dua orang pelajar lepasan universiti di Maghribi yang aku kenal. Yang pertama Rosli bin Mokhtar yang aku kenal semasa aku membuat Master di UKM dan seorang lagi Azhar Ibrahim bin Resedi, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Melalui merekalah aku mendapat maklumat tentang universiti-universiti di Maghribi.


BERSAMBUNG...

23 November 2008

Ceramah Syeikh Wahbah al-Zuhaili

Habis seminar ISCOM anjuran FSU, USIM, Syeikh Wahbah al-Zuhaili meberikan 3 ceramah di USIM. Yang pertama pada 20 nov 2008 (pagi) kepada para pelajar (khususnya pelajar Fiqh & Fatwa FSU) dan pensyarah. Tajuknya "Nahwa Bina' al-Malakah al-Fiqhiyyah" dan ia berkisar tentang membina skil untuk berijtihad. Antara lain beliau menyentuh tentang kepentingan menguasai beberapa perkara yang lazimnya syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh Mujtahid seperti menguasai ilmu al-Quran dan Sunnah, menguasai Bahasa Arab, menguasai Usul Fiqh dan lain-lain. Satu perkara lain yang ditekankan oleh Syeikh Wahbah ialah jangan memberi fatwa sebelum berumur 40 tahun kerana 40 tahun ialah umur "matang" sama seperti umur Nabi menjadi Rasul.

Ceramah kedua pada 20 nov 2008 (petang) juga bertajuk "Kaifa Taktub al-Bahs al-Ilmi", ia adalah ceramah tertutup kepada para pensyarah tentang cara menulis satu kajian atau buku dalam ilmu pengajian Islam.

Ceramah ketiga pada 21 nov 2008 (pagi) pula bertajuk "al-Fatawa al-Shazzah Wa Mauqifuna Anha" yang dibentangkan dalam wacana ilmiah anjuran INFAD. Ia terbuka kepada umum dan dalam ceramah ini Syeikh Wahbah menyentuh mengenai beberapa fatwa pelik yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seseorang mufti, sama ada ia menyalahi nas qat'ie atau ia berdasarkan pendapat yang lemah dalam mazhab.

Banyak manfaat dari ketiga-tiga ceramah yang disampaikan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili dan Insya Allah kalau diberikan kesempatan oleh Allah, UF akan tulis (salin semula) ceramah tersebut dan diterbitkan dalam jurnal atau buku.

22 November 2008

DIMASHQU (1)

Aku pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Aku mula bertugas di USIM pada 13 April 2001 sebagai seorang tutor. Ketika itu aku telah selesai menulis tesis Master di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sedang menunggu viva tesis.

Aku antara tenaga akademik awal yang berkhidmat di USIM malah nombor staf aku agak istimewa iaitu S100. Alhamdulillah aku dinaikkan pangkat sebagai pensyarah setahun kemudian itu iaitu pada 1 April 2002 selepas aku mendapat ijazah Sarjana.

Setelah disahkan dalam jawatan pada 15 Oktober 2004, aku mula membuat perancangan untuk menyambung pengajianku ke peringkat Doktor Falsafah. Hasrat pertama aku ialah menyambung pengajian ke luar negara kerana memang ada peruntukan kerajaan untuk pensyarah universiti ke luar negara. Lagipun jauh perjalanan, luas pengalaman bak kata orang.

Pada mulanya teringin juga aku pergi ke UK untuk Ph.D, apatah lagi aku mendapat Sarjana Muda di Mesir dan Sarjana pula di Malaysia. Jadi hendak juga aku beralih angin ke Eropah pula. Tapi bila aku fikir semasak-masaknya, bidang pengkhususan aku sebenarnya terletak di Timur Tengah, aku nekad untuk menyambung pengajian Ph.D aku ke situ. Apatah lagi aku tidaklah fasih sangat berbahasa Inggeris, jadi hasrat ke UK ku pendam dalam hati.


BERSAMBUNG...

17 November 2008

Syeikh Wahbah al-Zuhaili


Tengahari tadi kawan se fakulti call ajak pergi makan dengan Syeikh Wahbah al-Zuhaili. Syeikh Wahbah datang Malaysia semepena seminar International Seminar on Comparative Law (ISCOM2008) di Marriot Hotel, Putrajaya pada 18-20 November 2008. Kami pergi makan di restoran arab Saba Cyberjaya.

Syeikh Wahbah lebih kurang macam Syeikh al-Buti. 2 orang ulama Syria ni memang terkenal seluruh dunia Islam. Syeikh Wahbah banyak menulis buku yang mashur antaraya al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Tafsir al-Munir dan lain-lain.

UF masa berada di Syria selalu mengikuti kelas pengajian Syeikh Wahbah di Masjid al-Kuwaiti yang berhampiran rumahnya. Dia mengajar Tafsir al-Munir karangannya sendiri. Dekat Kuliah Syariah, Universiti of Damascus pun UF selalu jumpa dia sebab dia mengajar di situ. Malah kenangan manis UF dengan Syeikh Wahbah ni bila satu hari UF berjumpa dengan penyelia UF, Dr. Tawfiq (anak Syeikh al-Buti) nak bincang pasal proposal tesis di kuliah. Kemudian Dr. Tawfiq ajak masuk dalam pejabat kuliah, kebetulan Syeikh Wahbah ada dalam pejabat tu.

Dr. Tawfiq pun terus tunjukkan proposal UF pada Syeikh Wahbah dan mohon jasa baik Syeikh untuk tolong tengokkan proposal tu. Syeikh Wahbah pun tak cakap banyak, dia baca proposal tu dan betulkan sedikit sebanyak kandungan dalam proposal. UF masih simpan proposal tu yang ada tulisan Syeikh Wahbah, saja nak buat kenangan.

13 November 2008

Novel Online

Dulu UF pernah memasang niat untuk menulis sebuah novel, tapi tak jadi kenyataan sampai sekarang pun. Tajuknya dah ada, jalan cerita pun dah ada tapi entahlah, mungkin cerita tu rekaan kot, jadi takdak spirit untuk menulis. Nak menulis novel ni bukannya senang sebab ia memerlukan kreativiti dan kesungguhan, kalau tak memang payah nak menjadi.

Tapi bila zaujah UF sakit masa kat Syria dulu, ada "cerita" yang memilukan hati UF dan kalau UF teringatkan balik, memang terkadang bergenang air mata jugak. Timbul balik idea nak tulis novel, tapi kali ni novel yang berdasarkan sebuah kisah benar yang terjadi pada UF kat Syria masa zaujah sakit.

Idea kasar dah pun UF tulis sikit, masa UF "berseorangan" kat Syria lepas zaujah dah pulih dan sihat. Time tension teringat anak dan bini, UF tulis pengalaman berhadapan saat mula zaujah sakit hingga balik ke Malaysia dan masuk hospital sampai koma 3 minggu.

UF akan tulis novel ni (mungkin lebih kepada catatan) secara online, tak tahulah pernah orang buat atau tak. Sambil sibuk untuk siapkan tesis dan menulis dalam blog ni, UF akan cuba untuk tulis novel ni sampai siap Insya Allah. Tajuk novel ni:

"DIMASHQU"

(Sebuah kisah benar yang meruntun kesabaran seorang suami)

06 November 2008

Kenapa Fiqh Ada 4 Bahagian Utama

UF tertarik satu isi penting dalam ucaptama Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Pulau Pinang, Dato' Hasan Ahmad. Beliau menyebut kenapa kitab-kitab fiqh selalunya membincangkan 4 bab utama:

1) Ibadat
2) Muamalat
3) Munakahat
4) Qada' (termasuk dibawahnya Jinayat)

Sebabnya Allah jadikan 4 perkara dalam kehidupan manusia:

1) Keinginan/kekuatan berfikir.
Apabila manusia berfikir dengan mengikut akal yang waras dan berpandukan kepada ajaran Islam, maka akan timbul keinginan untuk beribadat kepada tuhan yang mencipta manusia iaitu Allah Subhanahu Wataala. Jadi bab ibadat (yang didahului dengan bab Taharah/bersuci) memberi panduan kepada manusia bagaimana beribadat kepada Allah.

2) Keinginan/kekuatan makan/minum (nafsu perut)
Manusia memang dijadikan berhajat antara satu sama lain dan kebolehan mereka tidak sama. Ada yang tahu bercucuk tanam dan ada yang tidak. Ada yang mempunyai sesuatu barang dan ada yang tidak. Tidak semua boleh menanam padi dan mereka memerlukan orang lain bagi mendapatkan beras untuk dimakan. Jual beli, sewa menyewa dan lain-lain yang terkandung dalam bab mumalat menjurus kepada makan minum manusia dan membantu mereka untuk hidup dalam keadaan selesa.

3) Keinginan seks
Secara tabiinya lelaki dan wanita berhajat antara satu sama lain dan hubungan kedua-duanya jika tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan kerosakan di muka bumi. Bab munakahat mengawal hubungan ini dengan menghalalkan perkahwinan dan sekiranya perkahwinan dilanda masalah, perceraian semestinya tidak boleh menzalimi mana-mana pihak.

4) Sifat marah/hasad
Apabila manusia diapi-apikan oleh syaitan dan nafsunya, akan timbul perasaan marah yang meluap-luap. Terkadang ia menyebabkan pembunuhan dan kecederaan pada orang lain. Jadi bab al-Qada' tidak membiarkan pesalah terlepas begitu sahaja dan mereka akan dihukumi dengan seadilnya sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.

Setiap pembahagian dalam kitab-kitab fiqh ada maknanya yag tersendiri!

Separuh Perjalanan

Alhamdulillah, UF dapat siapkan bab 1 tesis setelah agak 2-3 minggu kepeningan macam mana nak ending bab 1 tu. Baru separuh perjalanan kerana masih ada 1 lagi bab tapi rasanya bab kedua ni agak mudah sikit, harapnyalah.

Ya Allah permudahkan urusanku sehingga dapatku tamatkan penulisan tesisku dengan baik! Amin.

01 November 2008

UNKNOWN STORY

UF tak ingat tarikh sebenar perjumpaan ni, tapi rasanya dalam tahun 2005. Cerita ni memang orang ramai tak tahu sebab perjumpaan ni adalah tertutup. UF telah diajak oleh seorang kawan pensyarah USIM untuk mewakili USIM bersama 4-5 orang pensyarah lain ke satu perjumpaan dengan Dato' Mustapha Mohamed (masa tu dia pengerusi MTEN) di rumah dia berhampiran dengan PWTC (tak tahu apa nama tempat tu). UF diberitahu perjumpaan ni adalah perbincangan bersama Dato' Pa dengan penyarah-pensyarah IPTA untuk membantu MTEN dalam isu pengangguran mahasiswa.

Kami sampai di rumah Dato' Pa lepas Maghrib dan dijamu makan terlebih dahulu, kemudian baru perjumpaan dan perbincangan diadakan. Dato' Pa memulakan ucapan dan dia ada sentuh tentang isu pengangguran mahasiswa yang hangat diperkatakan ketika tu dan memperbetulkan beberapa fakta mengenai isu tersebut. UF tak berapa ingat kesemua isu yang dibangkitkan sebab perjumpaan ni dah lama.

Selepas itu sesi perbincangan dan soal jawab dibuka pada hadirin. UF anggarkan kehadiran malam tu lebih kurang 100 orang termasuk para pensyarah IPTA, pengetua kolej dan beberapa orang TNC. UF antara yang bangun berucap memberi pandangan, sebab seperti yang UF sebut bahawa UF diberitahu yang perjumpaan ini adalah perbincangan untuk membantu MTEN bagaimana membantu mahasiswa yang menganggur.

Jadi UF beri cadangan supaya mahasiswa yang menganggur ini diambil menjadi jurulatih tetap Program Latihan Khidmat Negara. Daripada kerajaan mengambil pensyarah IPTA yang memang telah bergaji tetap, lebih baik melantik mahasiswa yang menganggur sebagai jurulatih. Jadi kita boleh mengurangkan masalah pengangguran mahasiswa. Seorang kawan pensyarah USIM yang lain mencadangkan agar pihak kerajaan tidak mengenepikan pelajar lulusan timur tengah kerana mereka jarang didedahkan tentang kerjaya berbanding pelajar dalam negara.

Jadi pada mulanya memang perbincangan menjurus ke arah isu pengangguran mahasiswa. Tapi lama-lama, perbincangan mula bertukar tempo dan dah jadi mesyuarat UMNO pulak. Kenapa UF kata begitu, sebabnya hadirin terutama beberapa orang pengetua Kolej dan TNC beberapa IPTA mula membebel dan bercerita tentang UMNO dan sesetengah tu pulak mengampu (pada pemerhatian UF) Dato' Pa.

Yang pengetua kolej dok mengadu pelajar di kolej mereka suka menentang kerajaan. Yang TNC dok bangga dia tubuhkan beberapa cawangan UMNO. Yang lain pulak cadangkan agar pensyarah yang cenderung kepada pembangkang jangan dinaikkan pangkat. Sebab mereka kata pensyarah macam ni akan mempengaruhi pelajar.

Isu asal dan pokok tentang pengangguran terus diketepikan dan yang tinggal hanya perbincangan pasal UMNO, UMNO dan UMNO. Barulah UF tahu dan dapat saksikan dengan mata kepala UF sendiri, rupanya manusia macam ni pun ada. Amat rugilah negara mempunyai pensyarah, profesor dan TNC yang berfikiran macam ni. UF hairan, takkan Dato' Pa tak faham yang mereka ni dok megampu dia atau dia memang suka macam tu, Wallahu A'lam. Perjumpaan ni tamat hampir jam 12 malam dan UF pulang ke rumah dengan seribu pertanyaan, apa dah jadi dengan dunia akademik di Malaysia yang tercinta ni?

UF masih teringat dan amalkan pesan ustaz UF masa mengaji di Ma'hadul Azhar, Pulau Pinang dulu. Dia pesan kamu nak sokong mana-mana parti pun terpulanglah pada kamu, tetapi bila kamu nak mengaji atau berada dalam kawasan sekolah ni, sangkut ideologi politik kat pagar sekolah sebelum masuk. Itulah yang UF terapkan dalam kelas kepada pelajar-pelajar UF.

Kita bukan mengajar pelajar kita untuk menjadi ahli UMNO atau PAS atau PKR, tetapi mengajar mereka untuk menjadi hamba Allah yang pakar dalam bidang mereka. Yang faham dan amalkan ilmu yang dipelajari yang mampu memberi kebaikan untuk diri mereka sendiri serta kepada masyarakat, negara dan yang paling utama ISLAM itu sendiri.