Oktober 2008

31 Oktober 2008

Seminar Kebangsaan Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari 2008

Pada 29-30 Oktober 2008 yang lepas UF telah menghadiri Seminar Kebangsaan Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari 2008 anjuran bersama Bahagaian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dan JAKIM. UF telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Fiqh Ahwal: Kepentingannya Dalam Fatwa" dalam seminar tersebut.

Secara ringkas kertas kerja yang UF bentang ni berkisar kepentingan para mufti meraikan "keadaan" orang ramai sebelum memutuskan sesuatu fatwa. Prinsip meraikan keadaan sememangnya telah dijelaskan oleh al-Quran dan Sunnah, begitu juga telah dibincangkan oleh para ulama silam seperti Ibnu al-Qayyim, al-Qarafiyy, Ibnu Abd al-Salam dan lain-lain dalam kitab mereka. UF membawa 2 contoh fatwa Jawatankuasa Fawta Kebangsaan yang diaggap sebagai fatwa yang meraikan keadaan orang ramai. Berikut adalah fatwa tersebut:

1) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Siri 2 (Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik di Hospital-Hospital Kerajaan/Swasta). Muzakarah kali ke 49, 19 Sepetember 2000 memutuskan seperti berikut :"Hukum sembahyang jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus".

2) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Siri 1 (Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera Yang Sedang Bertugas). Muzakarah kali ke 14, 22-23 Oktober 1985 memutuskan bahawa :“Adalah harus bagi polis dan tentera meninggalkan sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syarie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut".

Untuk penjelasan lanjut dan terperinci berkenaan 2 fatwa ini, boleh rujuk kepada kertas kerja yang disediakan oleh UF dalam seminar tersebut. Untuk membeli prosiding seminar pula, boleh dapatkannya di JAKIM Putrajaya.

23 Oktober 2008

Tiada rezki ke Jordan

Dalam post lepas UF ada sentuh pasal peluang pelajar tajaan KPT dalam dan luar negara untuk bentang kertas kerja dalam seminar atau kutip data. Memang UF pernah pergi ke KPT untuk tanyakan hal tersebut dan jawapannya seperti yang UF sebut sebelum ini. UF pelajar tajaan KPT dalam negara memang kecewa sebab tak boleh pergi ke luar negara untuk cari bahan dan hanya boleh ke luar negara atas kapasiti pembentang kertas kerja sahaja.

Kekecewaan itu terubat bila UF hantar satu kertas kerja untuk seminar Ta'amul Ma'a al-Nusus al-Syariyyah anjuranUniversity of Jordan pada 4-6 November 2008 dan diterima untuk pembentangan. Memang rasa gembira sebab berpeluang ke Jordan untuk bentang kertas kerja di samping cari bahan untuk tesis Ph.D. UF pun buat permohonan bersama seorang lagi sahabat UF kepada Jawatankuasa Cuti Belajar (JKCB) USIM yang dipengerusikan oleh Dato' NC.

"Ku sangka bahagia jawapannya, tapi kecewa akhirnya" bila diberitahu keputusan JKCB tidak meluluskan pemergian UF ke seminar tersebut. Alasannya UF pernah guna peruntukan tiket kapal terbang masa pergi Syria dulu, jadi tiada lagi peruntukan tersebut untuk UF gunakan ke Jordan. Bila dapat tahu keputusan tu, memang hancur luluhlah perasaan UF. Manakala kawan UF tu memang dapat pergi sebab dia hanya sambung Ph.D di UIAM.

Keesokan pagi UF pergi jumpa Dato' NC sendiri untuk buat rayuan, tapi Dato' NC kata "rule is rule", sebab dah jadi polisi KPT. Dia kata bagi pihak dia, memang dia galakkan pergi tapi USIM tak boleh bantu beri peruntukan sebab melibatkan polisi KPT. Jika diberi juga ia akan menimbulkan masalah kepada USIM dengan audit.

Walaupun kecewa, tapi UF akur dan pasrah sebab tidak semua perkara dalam dunia ni kita akan dapat. Terkadang kita gembira, terkadang kita terluka dan yang penting jangan cabaran ini menjadikan diri kita sebagai negatif. Terima hakikat ini dengan hati positif dan UF masih positif. Mungkin tidak kali ini, tapi akan dapat yang lebih besar akan datang.

06 Oktober 2008

Penyelidikan bidang Sains dan Sosial

UF bersetuju dengan pandangan Prof. Madya Mohamad Md Yusof dari Pusat Pengajian Komunikasi, USM yang disiarkan dalam Berita Harian 6 Oktober 2008. Beliau mengutarakan kepentingan penyelidikan yang seimbang antara bidang sains dan sosial di IPT. Beliau memberi contoh Unversiti Harvard yang tidak mengkesampingkan penyelidikan bidang sosial di samping bidang sains.

Jadi pihak kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi semestinya mengambil pendekatan yang adil kepada dua bidang ini di universiti-universiti tempatan demi menggalakkan penyelidikan yang lebih baik. Ini kerana kedua-dua bidang adalah penting untuk pembangunan negara dan satu pihak tidak boleh mendabik dada dengan menyatakan bahawa bidangnya sahaja yang mampu membawa kemajuan dan pembangunan Malaysia.

Adil bukan bererti peruntukan penyelidikan dibahagi sama banyak kerana kita faham dalam bidang sains, selalunya ia melibatkan kos yang tinggi. Adil dalam erti kata bidang sosial tidak dianaktirikan atau dinafikan peluang untuk melakukan penyelidikan yang kompeten. Namun UF tidak mengatakan yang selama ini bidang sosial (termasuk pengajian Islam) dinafikan hak penyelidikan kerana sudah banyak penyelidikan yang baik dalam bidang tersebut.