DIMASHQU (3)

19 Disember 2008

DIMASHQU (3)

Kebetulan pula ada seorang pelajar Malaysia (Wifaq) yang sedang membuat Ph.D di Universiti Maula Ismail, Maghribi datang ke USIM untuk memohon jawatan akademik. Aku yang menemani beliau berjumpa dengan Prof. Dato' Dr. Asin bin Dollah (Timbalan Naib Canselor) berhubung dengan hasratnya itu.

Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat daripada Wifaq, aku membuat keputusan untuk membuat Ph.D di Universiti Maula Ismail, tempat Wifaq belajar. Namun masalahnya universiti tersebut tidak diiktiraf oleh JPA, manakala universiti-universiti lain di Maghribi pula terlalu lama tempoh untuk menghabiskan Ph.D. Jadi setelah berfikir semasak-masaknya, aku membuat keputusan untuk cuba memohon masuk di universiti Damascus di Syria.

Setelah tiada siapa yang boleh memberikan maklumat tentang universiti Damascus, aku cuba mengantar Emel ke alamat universiti tersebut bertanyakan syarat-syarat menyambung pelajaran di situ. Alhamdulillah tidak lama selepas itu aku mendapat jawapan daripada seorang pegawainya. Beliau telah memberikan sedikit maklumat berkaitan syarat-syarat membuat Ijazah Lanjutan di universiti Damascus.

Apabila aku memberitahu hasratku belajar di universiti Damascus kepada seorang teman pensyarah iaitu Dr. Adel (dari Libya), beliau mengatakan bahawa beliau mempunyai kenalan di universiti tersebut. Lalu aku meminta beliau menghubungi kenalannya itu melalui E-mel agar membantu permohonan aku. Setelah Dr. Adel mengutusi kenalannya itu dan memberitahu tentang hasrat aku, kenalannya itu mengalu-alukan kedatangan aku ke universiti Damascus. Kenalannya ialah Dr. Muhammad Tawfiq al-Butiyy anak kepada Dr. Muhammad Said Ramadan al-Butiyy.

Bersambung....

Tiada ulasan